February 20, 2010
Ilmu, Minda, Quote Motivasi, Umum
5 Comments
Tahun Baru Cina
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sempena Tahun Baru Cina ini saya telah bercuti selama seminggu. Satu cuti yang panjang. Salah satu aktiviti saya adalah pulang ke kampung yang terletak nun di utara iaitu Pulau Pinang. Salah satu tempat yang disinggahi saya semasa cuti adalah Chowrosta ( hehe saya pun tak pasti adakah ejaan ini betul) , iaitu terletak berhampiran dengan Komtar. Pernah dengar kawasan ini? Kawasan ini terkenal dengan tempat membeli buah pala.
Selain itu kawasan ini juga terkenal secara diam sebagai tempat menjual buku terpakai. Saya tidak melepaskan peluang untuk singgah membeli buku terpakai di sana jika berpeluang. Buku di sana tersangat murah. Kalau di kedai buku lain, mungkin jumlah keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM200 untuk hari itu. Tetapi di sini, buku-buku pembelian saya pada hari itu dapat diperolehi dengan harga RM70. Sungguh berbaloi.
Tetapi blog hari ini bukanlah hendak mempromosi kedai buku ini. Tetapi tetap berkisar tentang motivasi. Antara buku yang saya sempat beli adalah buku personal workbook tulisan Stephen R. Covey.

Sememangnya buku tulisan Stephen merupakan buku yang terkenal. Antara karyanya adalah “The 7 Habits Of Highly Effective People.” Melihat saya membeli buku personal itu, tuan punya kedai buku itu telah mencadangkan buku tulisan Stephen yang lain kepada saya. Saya menolak dengan baik kerana saya sudah mempunyainya. Tiba-tiba saya terfikir sesuatu, orang ini mengenali Stephen Covey! Dia tahu buku tersebut merupakan salah satu buku terkenal!
Fikiran saya terus berfikir. Dia mempunyai banyak buku terkenal yang lain. Dia mempunyai buku mengenai jutawan, cara pemasaran, buku mengenai computer dan banyak lagi. Tetapi….mengapa dia tidak berjaya? Maksud saya, kedainya masih lagi di ceruk-ceruk kedai usang yang tidak dikunjungi oleh orang lain. Tiada perubahan. Masih sama seperti dahulu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Akhirnya saya mengambil satu kesimpulan daripada kisah hari itu. Dia sekadar ‘mempunyai buku’ itu.
Pembaca sekalain, kita mungkin boleh membaca buku, mempunyai beberapa koleksi buku ataupun mempunyai kedai buku seperti orang di atas, tetapi jika kita tidak melakukan berkenaan dengan ilmu yang diperolehi, ianya pasti akan terkubur begitu sahaja. Apa yang penting adalah tindakan terhadap ilmu tersebut. Tanpa melakukannya, ilmu tersebut hanya sekadar ‘diperolehi’.
“Actions speak louder than words”
Selamat bekerja…
September 6, 2009
Bakat, Quote Motivasi, pengurusan masa
2 Comments
Assalamualakum dan salam sejahtera,
“Promise others that you will complete something by a certain date.
Promising others motivate yourself.”
Berjanjilah dengan seseorang anda akan menghabiskan atau menyelesaikan sesuatu perkara pada sesuatu tarikh.
Dengan berjanji, ianya memotivasikan diri.”
Untuk membolehkan sesuatu perkara dilakukan dan dibuat dengan lebih cepat, berjanjilah dengan seseorang untuk melakukannya. Ia akan memberi motivasi kepada anda untuk melakukannya. Walaupun anda berasa malas ataupun berasa sibuk.
Contonya seperti mana yang berlaku pada diri saya iaitu ketika proses menulis buku pertama saya iaitu ‘Apa bakat Saya?’. Saya telah berjanji kepada kawan saya yang saya akan menyiapkan karya tersebut sebelum …(heheehe saya dah lupa dah tarikhnya). Kesan daripada janji tersebut menyebabkan saya cuba sedaya upaya menghabiskan penulisan tersebut. Saya cuba mencari ruang masa yang ada supaya ianya dapat ditepati mengikut tarikh yang dijanjikan.
Jadi, jika anda ada impian atau sesuatu yang perlu dibuat, berjanjilah pada kawan anda atau diri anda di mana sebelum tarikh tertentu anda akan menyelesaikannya.Momentum anda pasti meningkat.
PS: Siapa mahu berjanji belanja saya berbuka puasa ni? 
May 4, 2009
Falsafah Kejayaan, Quote Motivasi, Umum
2 Comments

Bagaimana untuk maju dengan cepat? Maksudnya daripada segi kemahiran melakukan sesuatu. Atau pemahaman mengenai sesuatu. Jawapannya adalah dengan membaca. Sebabnya, dalam bukulah tersimpannya segalannya. Ianya merupakan pengalaman yang dikongsi oleh penulis. Buku merakamkan ilmu yang terkandung dalam minda penulis.
Memang betul, sesuatu ilmu yang dipelajari melalui praktikal lebih baik berbanding teori. Tetapi untuk menyingkatkan kemahiran anda, apa kata anda membaca buku-buku mengenainya. Ianya membuat minda anda berkembang dengan cepat. Jadi apabila anda mula-mula melakukannya, ianya seolah-olah bagaikan bukan kali pertama anda melakukannya. Anda mungkin sedikit was-was tetapi anda tidak terlalu hilang dan sedikit sebanyak anda tahu apa yang perlu dibuat.
“Saya belajar mengenai automobil dengan membaca mengenainya selama setahun
berbanding dari 20 tahun membuat eksperimen mengenainya.”
Walter Chrysler
“Sekolah pengalaman mengambil masa begitu lama,
hinggakan apabila kita menamatkan pengajian, kita adalah tua tua untuk bekerja.”
Henry Ford
“Baikilah diri anda dengan pengalaman orang lain-jadi anda akan dapat sesuatu dengan cepat
berbanding dengan apa yang orang lain lakukan.”
Socrates
Kesimpulannya, bacalah buku dalam bidang yang anda ingin mahir. Meminjam sebuah kata-kata,
“Orang yang bodoh tidak belajar daripada apa-apa,
Orang sederhana belajar daripada pengalaman sendiri,
Orang bijak belajar daripada pengalaman orang lain.”
Jadi selamat membaca. Ulang suara selamat membaca. Fuh..Terasa macam tengah mempromosi kempen membaca pula.
April 19, 2009
Quote Motivasi, Tips Motivasi
2 Comments
Selamat pagi dan salam sejahtera. Hari ini saya inginkan kongsi sebuah kata-kata yang telah diterima oleh Robert Kiyosaki ketika dia masih muda. Sekadar maklumat, Robert Kiyosaki merupakan salah seorang jutawan yang bergiat cergas dalam bidang hartanah dan saham ketika zaman mudanya. Beliau sudah pun mencapai peringakat bebas kewangan. Peringkat ini merupakan peringkat di mana beliau tidak perlu bekerja, tetapi wang tetap masuk ke poketnya.
Seterusnya beliau mencipta permainan yang diberi nama Cashflow untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewanagan. Beliau juga telah banyak menulis buku tentang kewangan yang telah mencapai tahap bestseller. Salah satu buku tersebut adalah ‘Rich Dad,Poor Dad’.
Mari kita lihat kata-kata yang dinasihati oleh mentor beliau,
“Jika kamu jenis orang yang tidak berani, kamu akan menyerah kalah setiap kali kehidupan menolak kamu. Jika kamu jenis yang sebegitu, kamu akan sentiasa memilih jalan yang selamat, melakukan perkara yang betul, menyelamatkan diri daripada kejadian yang tidak pernah berlaku.
Akhirnya kamu hidup dalam kebosanan sehingga kamu mati. Kamu mempunyai ramai kawan yang menyukai kamu kerana kamu seorang yang bekerja kuat. Hakikatnya, kamu membiarkan kehidupan menolak kamu sehingga kamu tewas. Jauh di lubuk hati kamu, kamu sangat takut untuk mengambil risiko.
Kamu ingin menang, tetapi ketakutan terhadap kekalahan telah mengatasi keseronokkan terhadap kemenangan. Dalam hati kamu, hanya kamu yang tahu bahawa kamu tidak berani melakukannya. Kamu memilih jalan selamat.”
Pesan Rich Dad kepada Robert Kiyosaki ketika dia masih muda.
Dalamnya maksud tu. Masa untuk merenung. 
March 4, 2009
Islam, Quote Motivasi
4 Comments
Saya sukakan tajuk hari ini. Tentang matlamat. Tentang apa yang diinginkan dalam hidup ini. Saya selalu menerangkan tentang kepentingan matlamat. Hari ini saya tambah satu lagi mengapa pentingnya ada hala tuju dalam hidup ini.
Memetik kata-kata tokoh Islam yang terkenal,
“Tidak akan engkau berasa gundah walau sekali jika engkau tahu apa yang dicari.”
Umar Al-Khattab
Apakah maksud kata-kata tokoh ini? Apakah kesimpulan daripada kata-katannya? Senang sahaja.Punyailah dan ketahuilah apa yang dicari dalam hidup ini.Tujuan matlamat adalah untuk mengelak kita berasa gundah atau gelisah. Ia mengelakkan kita daripada kehilangan arah.
Dalam hidup ini, pastikan anda tahu matlamat anda. Ketahuilah apa yang anda inginkan. Mungkin perkara tersebut sama atau tidak sama dengan orang lain. Andai berlainan pun, tidak salahnya. Anda adalah unik dan sudah tentu matlamat anda juga turut berlainan. Anda tidak sama dengan orang yang lain. Jadi tidak hairanlah jika matlamat anda turut berlainan.
Apa yang penting, anda tahu apa yang dicari dalam hidup ini. Anda tahu apa yang anda inginkan.
Mungkin anda mahukan
-Wang….
-Agama….
-Mendirikan rumah anak yatim…
-Rumah besar..
-Cinta yang sejati..
-Bersama keluarga..
-Kereta Ferrari..
-Melancong serata dunia..
-Isteri-isteri yang cantik.. 
-Mencuba pelbagai masakan..
Dan pelbagai lagi. Saya pasti anda mempunyai senarai yang panjang. Tetapi apa yang penting, ketahuilah matlamat anda. Percaya atau tidak anda tidak akan berasa gundah, seperti kata-kata tokoh Islam di atas.
February 18, 2009
Quote Motivasi
No Comments
Tips hari ini ringkas sahaja. Tapi dalam ringkas-ringkas itu, saya harap anda dapat berfikir dengan mendalam. Saya ingin mengambil sebuah quote ringkas daripada seorang pemerintah yang berjaya pada zaman dahulu kala. Quote ini datang daripada seorang pemerintah Rom yang bernama Marcus.
Kunci utama quote ini adalah tentang matlamat hidup. Tidak kisahlah apa yang diingini seseorang. Ia menjawab persoalan, “Apa sebenarnya anda mahu lakukan dengan kehidupan anda.”
Apa kata berfikir sejenak tentang apa yang dimaksudkannya.
“Janganlah berlagak seolah-olah anda mempunyai
seribu tahun untuk hidup.”
Marcus Aurelius
Selamat berfikir. 
January 30, 2009
Falsafah Kejayaan, Quote Motivasi
3 Comments
” Saya sudah berjumpa ramai orang berjaya yang pernah gagal. Tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang tidak pernah gagal berjaya. “
Kegagalan tidak membawa apa-apa makna. Ianya merupakan perkara normal dalam kehidupan. Semua orang berjaya dalam hidup ini pasti pernah menghadapi kegagalan.
Orang yang tidak pernah menghadapi kegagalan merupakan orang yang tidak akan berjaya. Kegagalan adalah rakan karib kepada kejayaan. Jika anda takut untuk menghadapi kegagalan, maka lakukan sahaja.
Semakin banyak anda menghadapinya semakin kuat anda membina kekuatan anda. Ia umpama senaman. Dimana kekerapan senaman tersebut membina otot-otot ‘kejayaan’. Pengalaman anda bertambah. Anda menjadi matang dari segi pengalaman untuk mencapai kejayaan. Lama-kelamaan anda akan menjadi biasa kepada kegagalan. Keluarlah untuk melakukan kegagalan untuk anda lebih cepat untuk menjadi orang yang berjaya.
“Saya telah gagal menyempurnakan sebanyak lebih 9000 jaringan sepanjang karier saya. Saya kalah sebanyak 300 perlawanan. Sebanyak 26 kali saya gagal menyempurnakan harapan yang diberikan kepada saya untuk menyempurnakan jaringan kemenangan. Saya asyik kalah dan kalah sahaja dalam kehidupan saya. Dan sebab itulah saya berjaya.”
Michael Jordan
Jadi apa tindakan anda sekarang? 
January 9, 2009
Pendapat, Quote Motivasi
No Comments
Kritikan dan komen negatif tidak indah untuk didengar. Selalunya mengikut konteks motivasi, kita perlu mengabaikan apa yang dikatakan. Kerana ianya akan merosakkan motivasi dalaman diri.Ia meruntuhkan semangat kita. Ia membunuh keyakinan diri. Kita manusia biasa. Tidak dapat lari daripada semua ini. Saya pun mengalaminya. Kadang-kala saya menerima komen yang baik mengenai artikel yang ditulis daripada pembaca blog ini. Kadangkala saya juga mendapat komen yang tidak sedap didengar.
Persoalannya, adakah kita sememang harus mengabai keseluruhannya? Perlu diketahui, pendapat datang daripada pelbagai bentuk. Mungkin secara lisan atau secara bahasa tubuh. A meberi kritkan kepada anda. Ataupun melalui bahasa badannya, anda tahu bahawa dia memberi komen negatif pada anda.
Jadi perlukah kita mendengar pendapat A?Adakah pendapat A benar?
“Jika seseorang mengatakan anda kuda, maka mereka adalah gila.
Jika 3 orang mengatakan anda kuda, mungkin itu adalah konspirasi.
Tetapi jika ada 10 orang mengatakan anda adalah kuda,
maka sudah tiba masanya untuk anda mempertimbangkan untuk membeli ladam.”
Jika semua asyik mengatakan benda yang sama. Maka sudah tiba masanya anda memikirkan komen itu semula. Mungkin terdapat kebenaran disebalik kata-kata tersebut. Kita bukan sempurna. Kita melakukan kesilapan. Oleh itu belajarlah menerima pendapat orang lain.
Apa yang penting jangan jadikan pendapat atau komen negatif yang diterima menjatuhkan impian anda. Anda hanya perlu mengubah pendekatan sahaja. Belajarlah untuk mendengar komen atau pendapat orang lain. 
December 28, 2008
Islam, Quote Motivasi
No Comments
Salam motivasi. Apa kata hari ini kita renung kata mutiara daripada Ali Bin Abi Thalib.
“ Barangsiapa mengumpulkan padanya enam perkara nescaya ia tidak akan meninggalkan usaha mencari syurga dan lari dari neraka:
Pertama : Ia mengenal Allah lalu mentaatiNya.
Kedua : Ia mengenal syaitan, lalu menderhakainya.
Ketiga : Ia mengenal kebenaran, lalu mengikutinya.
Keempat : Ia mengenal yang batil, lalu menjaga diri daripadanya.
Kelima : Ia mengenal dunia lalu menolaknya.
Keenam : Ia mengenal akhirat, lalu mencarinya “.
Semoga kita mendapat pengajaran daripadanya. Salam Awal Muharram..
December 12, 2008
Quote Motivasi, Tips Motivasi, Winner
2 Comments
“Anda perlu berada di peringkat di mana anda merasakan bahawa tindakan lebih penting daripada hasilnya sama ada menang atau kalah.”
Arthur Ashe
Kadangkala kita selalu memikirkan hasil akhir. Kita hanya akan bertindak apabila kita merasakan bahawa kita akan menang. Dan hanya akan membiarkan sesuatu perkara begitu sahaja apabila kita merasakan kita akan kalah. Kesannya kadangkala kita tidak melakukan perkara tersebut kerana kita merasakannya ia tidak boleh dilakukan. Padahal, kita mempunyai poteni yang besar untuk berjaya. Alangkah ruginya.
Apa kata kita renungkan kata-kata di atas. Ubah perspektif kita. Bertindak atau cubalah terlebih dahulu perkara yang ingin dilakukan. Hasilnya barulah kita tahu sama ada perkara tersebut boleh dilakukan atau tidak. Kita perlulah memprogram minda kita untuk berada di peringkat di mana tindakan dirasakan lebih penting daripada hasilnya.
Analogi mudah. Anda meminati seseorang. Tetapi tidak tahu sama ada hendak mengoratnya atau tidak. Tetapi kesan membaca blog ini anda merasakan perlunya mencuba. Hehe.. Sebab anda merasakan tindakan perlu diambil. Tentang hasil akhir biar sahaja ditentukan nanti. Sebabnya anda tidak mahu menyesal. Inilah yan perlu diterapkan.
Faham quote motivasi hari ini?
Kesimpulannya, lakukanlah perkara yang anda ingin lakukan supaya anda tidak menyesal. Mungkin anda akan kalah, tetapi sekurang-kurangnya anda tidak akan menyesal. Adakah anda ingin suatu hari nanti di kala anda tua, anda berkata, “alangkahnya baiknya aku mencuba melakukan perkara tersebut dahulu”.?